Rabu, 6 Ogos 2014

Perkahwinan Jarak Jauh (PJJ)


Teks: Siti Mariah Binti Md Desa
Salam.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Pada zaman millenium ini saya yakin dan pasti ramai pasangan yang mempunyai status perkahwinan jarak jauh. Termasuklah saya juga tergolong dalam kehidupan sebegini. Berjauhan dengan suami bukanlah suatu yang mudah. Cabaran yang paling besar adalah berdepan dengan perasaan sendiri. Kadang kala timbul rasa cemburu dan curiga apabila suami berjauhan.
Suami bekerja dan tinggal di Seri Manjung, Perak manakala saya pula tinggal di Jitra, Kedah dan bekerja di Kangar, Perlis. Kami hanya berjumpa apabila cuti hujung minggu. Mujurlah cuti kami pada hari yang sama iaitu pada hari sabtu dan ahad. Saya sentiasa menunggu hujung minggu kerana ingin berjumpa suami tercinta. Masa yang ada kami gunakan sebaik - baiknya maklumlah dua hari sahaja seminggu yang diperuntukan untuk bersama.
Berpegang pada prinsip percaya pada pasangan dan sentiasa meluahkan andai ada masalah membuatkan hati lebih tenang apabila berjauhan begini. Mana tidaknya jika lewat menerima panggilan atau khabar dari suami pasti rasa curiga menguasai diri. Apabila perasaan sebegini terlintas cepat – cepat saya mohon doa agar diberi kekuatan dan mempercayai suami. Allah Ya Allah, siapalah aku tanpa Mu Ya Allah pasti syaitan sentiasa meracuni hati dan fikiran ini.
Seringkali ditanya rakan dan kenalan mengenai perkahwinan jarak jauh ini membuatkan hati tersentuh hiba. Tak kurang juga ramai yang memberi kata – kata semangat untuk bersabar atas ujian ini. Doa sentiasa dipanjatkan kepada Allah supaya kami dapat tinggal bersama tapi apakan daya Allah lebih mengetahui waktu yang sesuai mengikut perancanganNYA. Saya yakin harinya akan tiba jua. Semoga Allah mempermudahkan urusan saya untuk tinggal bersama suami tercinta. Amin.
Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan