Selasa, 26 Ogos 2014

Bunga Rose Kering dari Kundasang, Sabah

Teks: Siti Mariah Md Desa

Salam

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Semasa kunjungan kami ke Kundasang, Sabah suami menghadiahkan saya bunga rose segar. Katanya sebagai kenangan dan tanda kami pernah ke sana. Ketika pulang ke Jitra, Kedah saya tetap membawa pulang bunga rose tersebut walaupun agak layu. Tambahan pula bunga  rose tersebut terpaksa dimasukkan ke dalam bagasi. Setibanya di rumah, saya mendapat idea untuk keringkan bunga rose itu dan abadikan ia dalam frame.

Mula mula sekali saya biarkan bunga rose tersebut kering dahulu. Bukan setakat bunga rose, sekali dengan daun dan bunga hiasan kecil yang lain saya keringkan juga. Saya hanya menggunakan cara biasa untuk keringkan iaitu dengan menjemur dibawah cahaya matahari. Setelah betul betul kering barulah saya masukkan bunga tersebut kedalam frame yang saya beli sekali dengan pasu hiasan didalam frame tersebut.

Syukur Alhamdulillah walaupun setelah hampir dua tahun, bunga rose dari Kundasang masih elok. Saya juga berharap ianya akan kekal utuh. Kini frame bunga rose merah ini adalah antara koleksi peribadi yang saya sayang.




Bunga Rose Merah
Mudah mudahan dengan perkongsian kali ini ada juga di antara kalian yang mendapat idea untuk abadikan bunga rose seperti ini. Tambahan pula jika ia dari yang tersayang.

Sumbangan dan dana ikhlas untuk Pertubuhan Baitul Aini

Teks: Siti Mariah Md Desa

Salam

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Sedang asyik saya tercari cari sepucuk surat, terjumpa pula satu flyer yang masih elok dalam simpanan. Sumbangan dan dana ikhlas untuk Pertubuhan Baitul Aini, pusat jagaan anak anak yatim. Elok saya kongsikan laman web mereka disini, andai kata ada yang mencari cari tempat untuk menderma atau berwakaf sudilah berkunjung di link ini Pertubuhan Baitul Aini.

Nota: Sebarang pertanyaan sila rujuk kepada Pertubuhan Baitul Aini.







Isnin, 25 Ogos 2014

Kreativiti Kitar Semula - Aktiviti Menarik dan Berbaloi

Teks: Siti Mariah Md Desa

Salam

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Dari bahan terbuang pun boleh jana pendapatan. Di mana ada kemahuan disitu ada jalan. Disini saya kongsikan salah satu entri kitar semula hasil carian  Google. Jom kita lihat hasil dari barang terbuang yang dijadikan hiasan yang cantik dan tampak mahal. Yang paling menarik minat saya adalah hiasan lampu gantung.



Sumber: Kreativiti Kitar semula - Aktiviti Menarik dan Berbaloi
Penulis: Bin Muhammad        

Assalamualaikum,...

Dah lama tidak membuat entri berkenaan kreativiti kitar semula. Untuk pengetahuan anda, artikel berkaitan kitar semula ini...saya dapati ianya sangat menarik minat pembaca. Entri-entri lama berkaitan kitar semula sentiasa ada pengunjung sehinggakan kesemua entri berkaitannya kini berada paling atas dalam carta artikel paling popular di blog ini.

Ia juga merupakan entri yang paling banyak di "copy" terutama gambarnya. [klik sini untuk tahu bagaimana kandungan artikel anda telah di Copy] Tapi sayangnya komen-komen lama semuanya telah tiada. Hilang bersama hilangnya perkhidmatan komen Intensedebate di blog ini.

Pengunjung pula kebanyakannya datang dari carian Google dan Yahoo. Ini menunjukkan ramai yang berminat dengan aktiviti kitar semula. Saya tahu, ramai yang memahami dan menyedari akan pentingnya kitar semula tetapi kurangnya aktiviti dan idea untuk menggunakan barangan terbuang ini membuatkan ia akhirnya terbuang begitu sahaja.

Jika kuantitinya banyak mungkin anda ringan tulang untuk menjualnya di tempat pengumpulan bahan terbuang, dapat juga sedikit wang. Tapi jika kuantitinya sedikit... Tunggu dipungut lori sampah lah jawabnya. Satu kerugian yang amat besar...





Lihatlah bagaimana kotak terbuang di olah menjadi lampu gantung hiasan

yang sangat cantik dan menarik.

Di entri kali ini anda nikmati lagi beberapa hasil kreativiti bahan terbuang yang boleh anda cuba. Ianya tidaklah dapat menjadi secantik barang berjenama tetapi sumbangan anda dalam memelihara alam sekitar dan sumber semulajadi amat tinggi nilainya, tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.

Jom kitar semula! Aktiviti yang menyeronokkan dan pada masa yang sama memberi pulangan buat anda. Jika anda rajin, mungkin ianya mampu menjana pendapatan buat anda.... (klik gambar untuk saiz sebenar untuk lagi jelas)





Pinggan kertas ataupun polisterin di jadikan beg comel untuk si kecil anda.

Jangan kata anak anda, anda sendiri pun pasti terpikat!





Tayar terbuang seringkali dijadikan tempat tanaman pokok bunga.

Apa kata kali ini anda jadikan ianya sebuah kolam mini...Menarik bukan!






Botol-botol kaca yang pelbagai warna, saiz dan rupa menggantikan

batu bata simen dinding pagar di rumah anda. Gunakan kreativiti anda

untuk menyusunnya. Pasti ianya memberi keunikan dan menjadi hasil seni

yang sungguh menarik dan eksklusif!





Hasil seni hiasan dinding yang sangat indah dan memukau pandangan

dengan hanya menggunakan kotak dan sudu plastik terpakai.

Dengan bermodalkan kurang dari RM10...kini menjadi hiasan yang mungkin

bernilai puluhan RM nilainya.






Satu idea kreatif untuk bungkusan cup cake yang menarik!

Sungguh mudah membuatnya, sesuai untuk ole-ole tetamu anda.





Botol plastik yang kelihatan biasa di olah menjadi pasu bunga yang

sungguh menarik. Pasti berebut untuk memilikinya.





Ini di kira kitar semula ke? Ya...sekarang ni penyangkut baju dawai

tidak lagi sesuai di gunakan untuk menyangkut baju, janganlah di buang pula.

Ubah ia menjadi penggantung koleksi kasut anda yang bersepah tu...Kan nampak kemas





Hiasan dinding yang menarik dan menawan dihasilkan dari gelung tape dan

bekas tabung kertas seperti bekas shuttle badminton. Setelah tergantung

indah di dinding... Pasti ada yang berkenan, xpercaya? Cubalah...





Lihatlah betapa menarik dan comelnya bekas hiasan ini. Jika tidak

di belek dengan teliti, pasti tiada siapa yang tahu ianya dihasilkan dari

botol plastik terbuang.





Hanya sekali minum...pasti ianya dibuang. Itulah nasib cawan kertas.

Pakai dan buang, sungguh membazir! Apa kata anda gunakan semula ia

untuk di jadikan bunga hiasan yang unik dan tampak eksklusif sekali.

Hah... Kau ada!?





Bekas tempat letak pen dan pensil yang sangat menarik. Hasil kreatif

dari kayu terbuang. Jika letak di meja pejabat anda...pasti ramai yg berkenan.

Kalau hilang...Cer, tengok dalam bilik bos anda...hehe





Pelbagai contoh kreativiti rekaan yang menggunakan pallet kayu.

Banyak sekali idea yang boleh dibuat dari pallet terbuang ini...Menarik sekali.





Biasa lihat simbol ini?



Kenalkan dan dedahkan anak-anak anda dengan kitar semula. Beri penjelasan dan kefahaman tentang kepentingan kitar semula. Lakukan aktiviti kitar semula bersama mereka. Mereka masih rebung yang boleh diajar serta di lentur...Kita ni dah jadi buluh...hihihe...






Janganlah semua benda yang sudah lama, rosak dan bahan terbuang itu dianggap sampah dan dibuang begitu sahaja. Setiap darinya terhasil dari sumber alam semulajadi yang terhad. Gunakanlah ia semula dengan kreatif atau pun juallah ia di tempat kitar semula agar ianya dapat di proses menjadi bahan asas semula.... Anda untung, alam pun terpelihara...Insyaallah.





Ketahuilah...Tindakan anda akan menentukan keadaan kehidupan masa depan generasi anda.

Dan Ingatlah...Membazir itu perlakuan syaitan.



24 Tutorial Mudah Bunga daripada Fabrik dan Riben

Teks: Siti Mariah Md Desa

Salam

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Malam ini sambil saya melayari internet, saya terjumpa satu link 24 Tutorial Mudah Bunga daripada Fabrik dan Riben . Nampak mudah setiap tutorial yang di kongsikan. Lalu saya terfikir, ramai rupanya diluar sana yang baik hati berkongsikan ilmu untuk dijadikan panduan dan berkongsi idea rekaan mereka di internet. Saya juga berharap, kiranya suatu hari nanti saya dapat berkongsi lebih banyak idea seperti mereka. Tidak lokek berkongsi ilmu yang bermanfaat. Insyaallah.

Sekiranya kita buntu mencari idea, Google sahaja. Pasti kita tidak ketandusan idea melihat setiap kerja tangan yang mereka kongsikan. Tutorial mudah membuat kraftangan bunga daripada fabrik dan riben. Bunga ini boleh dijadikan hiasan pada kerongsang, sepit rambut, cekak rambut, pembalut hadiah dan pada kad ucapan istimewa.

Selamat mencuba.

Antara 24 Tutorial Mudah Bunga daripada Fabrik dan Riben


Sumber : 24 Tutorial Mudah Bunga daripada Fabrik dan Riben dari Ratuhati.com

Seni Hiasan Bunga Reben

Teks: Siti Mariah Md Desa

Salam

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Terpegun seketika melihat hasil tangan Suzana Mustafa walaupun hanya melalui blog. Cantik dan menarik seakan akan timbul dan hidup bunga yang dihasikan. Warnanya pula menyerlah. Hasil kombinasi pelbagai warna menaikkan seri kuntuman bunga. Saya kira beliau merupakan perintis bagi Sulaman Reben di Malaysia.



Koleksi terbarunya ialah senaskah buku bertajuk Seni Hiasan Bunga Reben Versi Pengantin. Saya tidak akan lepaskan peluang membeli buku tersebut sebagai rujukan dan inspirasi. Walaupun agak lewat menyedari terbitan buku tersebut saya berharap buku tersebut masih ada di pasaran.

Jom dapatkan Seni Hiasan Bunga Reben Versi Pengantin.

Selasa, 19 Ogos 2014

Mudah.my sungguh mudah

Teks: Siti Mariah Md Desa

Salam.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Sebut sahaja Mudah.my pasti ramai yang tahu. Saya juga tidak terlepas membeli barang dan menggunakan perkhidmatan yang di sediakan di Mudah.my. Adakalanya membuat servey harga pada barang yang hendak dibeli dari yang murah sehinggalah yang mahal. Pengalaman saya menggunakan Mudah.my untuk mencari rumah sewa sungguh mudah dan mesra pelanggan.

Taip sahaja item yang hendak dicari pasti tertera item tersebut. Kalau sudah masuk ke Mudah.my asyik pula melihat barang dan perkhidmatan yang dipamerkan sehingga tidak sedar masa berlalu. Saya yakin ramai peniaga yang senang dengan kewujudan Mudah.my. Malahan ada juga peniaga yang berjaya hanya berniaga di laman tersebut.

Semoga Mudah.my terus maju dan dapat membantu ramai orang bukan hanya di Malaysia malah seluruh dunia.

Mudah.my


D.I.Y Kasut Lace


Teks: Siti Mariah Md Desa

Salam

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Hari ini saya meninjau ninjau di blog Pinterest. Banyak ilmu yang saya dapat di blog tersebut. Semuanya menarik belaka. Banyak tutorial yang dikongsikan oleh pengikut Pinterest. Adakala  geli hati melihat keunikan dan kreativiti yang dikongsikan. 

Antara yang menarik ingin saya kongsikan adalah Kasut Lace. Nampak ringkas tetapi menarik. Lihat sahaja pada gambar ini pasti anda juga mendapat idea pada kasut anda. Pada saya ianya tidaklah tertumpu pada kasut bertutup sahaja. Yang penting kreativiti kita sendiri. Ayuh kita cuba.
 
 

Sumber rujukan http://www.pinterest.com/pin/395824254722948258/

Sabtu, 9 Ogos 2014

Mulakan Yang Mudah Dahulu.

Teks: Siti Mariah Md Desa
Salam.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Mulakan dengan sesuatu yang kita rasa mudah. Ini akan memberi kita keyakinan untuk terus malakukannya lagi. Sewaktu saya mula menceburi dan meminati dalam sulaman manik, saya melakukan teknik - teknik yang mudah dahulu barulah ke teknik yang lebih sukar.   
Saya juga menggemari hasil jahitan Rosita Jaafar. Banyak juga buku hasil sulaman manik yang saya beli darinya. Ianya sebagai rujukan dan panduan yang berguna kepada saya semasa mula belajar dahulu sehinggalah sekarang. 
Ini adalah atara hasil jahitan saya ketika mula mempelajari teknik jahitan manik. Walaupun agak baru lagi ketika itu, tetapi saya yakinkan diri boleh menjahitnya. Dan akhirnya saya berjaya menyiapkan jahitan pada baju saya sendiri. 


* Gambar agak kabur kerana diambil dari telefon lama.

Kain Tuala Pengelap Tangan


Teks: Siti Mariah Md Desa
Salam.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Kain tuala yang diberi percuma ketika saya menghadiri salah satu kursus. Saya jadikan kain tuala pengelap tangan di rumah. Dengan sedikit sentuhan bunga riben diatasnya ia kelihatan sedikit menarik dari dibiar kosong begitu sahaja. Anda pun mampu lakukannya. Mudah sahaja. Di lain enti, saya akan tunjukkan cara membuatnya. Insyaallah.



Bantal Bersulam Riben

Teks: Siti Mariah Md Desa
Salam.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Salah satu tempahan dari kawan baik saya iaitu Erna Mar. Design dan warna atas permintaannya sendiri. Kombinasi warna yang menarik, pink dan ungu. Katanya ingin letakkan dalam kereta baru miliknya.
 
Bantal Bersulam Riben 

Rezeki yang tak disangka


Teks: Siti Mariah Md Desa

Salam.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Terkejut apabila melihat email daripada pihak bank. Disitu tertera sejumlah wang telah di kirimkan ke akaun saya. Walaupun jumlah yang tidak begitu besar tetapi saya tetap terkejut. Lantas saya menyemak  akaun melalui  internet banking dan tertulis komisyen ebook. Duit saya bertambah. Alhamdulillah, syukur padaMu Ya Allah. Rupanya duit komisyen hasil daripada saya jual ebook melalui program affiliate.
Sekadar ingin mencuba dan suka – suka sahaja kerana tiada cas yang dikenakan. Saya hanya perlu promosikan link yang diberikan setelah mendaftar program tersebut. Saya mendaftar program tersebut pada Disember 2013 dan kali terakhir saya promosikan link berkenaan pada bulan Januari 2014. Saya promosikan melalui blog orang lain kerana saya tiada blog sendiri pada ketika itu. Mungkin ada yang melihat link tersebut dan membeli melalui link yang saya promosikan. Hasilnya saya terima sekarang.
Setelah sekian lama saya promosikan link tersebut dan baru sekarang saya terima hasilnya. Saya juga hampir – hampir sudah melupai program tersebut. Benarlah Allah Maha Pemberi Rezeki. Ini adalah ketentuanNYA, DIA lebih mengetahui waktu dan ketika yang sesuai untuk diberikan kepada hambaNYA. Terima kasih Ya Allah.
 Semoga rezeki kita semua semakin bertambah selepas ini. Amin.

Jom Bersedekah


Teks: Siti Mariah Md Desa
Salam.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Salah satu cara mudah menjemput  rezeki adalah dengan bersedekah.  Semakin banyak kita beri, semakin banyak kita terima. Banyak cara untuk bersedekah. Tidak semestinya memberi duit, selain dari duit  juga dikira sebagai sedekah. Sebagai contoh bersedekah adalah  ilmu, pakaian,buku dan makanan. Tipnya mudah, beri apa yang kita ada. Kalau tiada banyak, sedikit pun cukuplah. Bukankah ikhlas itu lebih penting.
Banyak program yang dianjurkan oleh persatuan dan kelab tertentu yang memerlukan pertolongan kita untuk memberi sumbangan. Bantulah selagi kita terdaya. Tangan yang memberi lebih baik dari menerima.
Semoga ianya bermanfaat.

Sulaman riben pada balang

Teks: Siti Mariah Md Desa

Salam.

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Saya pernah mengikuti kursus pendek sulaman riben pada balang anjuran Kolej Komuniti Arau, Perlis. Yuran yang dikenakan cukup berpatutan. Pihak kolej menyediakan semua bahan yang diperlukan. Tiada peralatan yang perlu dibawa ketika belajar. Kami di suruh menyiapkan dua balang sulaman riben. Tenaga pengajar mengajar langkah demi langkah sehingga ke semua pelajar berjaya siapkan projek masing - masing. Yang paling menyeronokkan setiap peserta dibenarkan membawa pulang hasil masing - masing. Terima kasih cikgu Kolej Komuniti Arau, Perlis



Hasil kerja tangan saya semasa kursus sulaman riben pada balang anjuran Kolej Komuniti Arau, Perlis. Sekarang saya dah isi benang ke dalam balang ini.  

Sulaman riben pada balang /bekas





Jahitan lace bermanik

Teks: Siti Mariah Md Desa

Salam.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Jahitan lace bermanik. Sedikit tip yang saya nak kongsikan. Kadang - kadang kita sering buntu untuk memilih warna lace dan manik untuk di jahit pada pakaian. Sekiranya ingin membeli lace dan manik pastikan kalian membawa bersama - sama pakaian ke kedai. Ini dapat membantu kita memilih warna yang sesuai dan mengelakkan kita rugi kerana tersalah pilih. Jangan malu - malu untuk suai dan padan lace dan manik yang kalian bekenan.

Pastikan pilih lace dahulu kemudian barulah pilih manik supaya  warna warni manik dapat menyerlahkan lagi lace tersebut. Untuk kelihatan lebih menarik pastikan pilih warna manik yang ada pada warna pakaian. Contohnya, pakaian saya mempunyai warna pink dan warna kuning mustad. Saya memilih lace bewarna kuning keemasan kerana tiada kuning mustad yang sepadan dengannya dan manik bewarna kuning, pink, putih dan sedikit warna unggu. Saya campurkan manik kecil dan besar supaya kelihatan lebih menyerlah.

Baju Raya Aidilfitri saya baru - baru ini.


Bunga Ros Inti Manik



Teks: Siti Mariah Md Desa

Salam.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Hari ini saya ingin kongsikan tutorial untuk menghasilkan bunga ros inti manik yang begitu mudah untuk dihasilkan.

Bunga ros inti manik
Ikuti langkah berdasarkan gambar di atas. Dari kiri ke kanan.

1. Peralatan yang diperlukan adalah
  • Riben berukuran 1 inci. Potong riben sepanjang 5 inci sebanyak 5 keping.
  • Benang
  • Jarum
  • Gunting
  • Pembaris
  • Manik
2. Lipat riben yang telah dipotong tadi seperti dalam gambar. Lipat sama tengah membentuk seperti nombor 7 terbalik.

3. Kemudian lipat penghujung riben di atas bertemu penghujung riben dibawah.

4. Pegang penghujung riben dan ikat dengan benang. Ikat dengan kuat.

5. Ulang langkah di atas sehingga siap lima lipatan riben.

6. Kemudian ikat ke lima - lima hujung riben tersebut dengan kuat. Pastikan permukaan yang rata mengadap kedalam. Permukaan yang berlekuk ke luar. Setelah ikatan membentuk sekuntum bunga potong hujung lebihan ikatan tersebut supaya kemas.

7. Gambaran bahagian hadapan bunga ros. Kemudian jahit 5 biji manik secara berselang seli.

8. Dah siap!

Selamat mencuba.

Khamis, 7 Ogos 2014

Set tilam bayi kembar


Teks: Siti Mariah Binti Md Desa
Salam.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Semasa kelahiran anak saudara kembar baru - baru ini saya hadiahkan mereka sepasang set tilam bayi. Sarung bantalnya saya beri sentuhan felt kraf. Terukir nama mereka berdua di situ, Adam Rayyan dan Adam Rayqal.
Adam Rayyan dan Adam Rayqal

Ini adalah pertama kali saya membuat set tilam bayi. Begitu juga dengan felt kraf tersebut. Mungkin juga dek kerana terlalu teruja untuk mendapat anak saudara kembar membuatkan saya benar - benar mahu menghasilkan produk kreatif saya sendiri. Dari memilih kain di kedai sehinggalah memasukkan kekabu sendiri ke dalam sarung bantal. Semuanya "D.I.Y"

Koleksi manik dan lace

Teks: Siti Mariah Md Desa

Salam.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Manik dan lace
Masih dalam koleksi peribadi lagi. Antara pek percuma yang saya dapat kerana membeli ebook sulaman manik melalui online. Masih lagi mencari - cari baju yang sesuai untuk dipadankan dengan manik dan lace pink ini.

Sekiranya ada baju yang boleh dipadankan, isyaallah hasilnya akan saya kongikan disini nanti. 

Tip Penjagaan Pakaian Bermanik


Teks: Siti Mariah Md Desa


Salam.



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.



Jom saya kongsikan info macam mana nak jaga pakaian bermanik tanpa perlu hantar ke kedai dobi.




Cara Mencuci


Jika kotoran terkena pada bahagian jahitan manik, cuci dengan tangan sahaja. Bilas kemudian perah, jangan perah teralu kuat kerana ia akan merosakkan jahitan manik. Terbalikkan pakaian dan digalakkan jemur di tempat yang teduh agar kualiti kilauan manik berpanjangan.

Cara Menggosok

Pakaian yang ada jahitan manik hendaklah digosok pada sebelah dalam dengan cara terbalikkan pakaian tersebut. Sebolehnya letakkan pakaian kawasan bermanik yang hendak digosok di atas bantal agar kedutan pada bahagian manik akan rata setelah digosok. Namun perlu dilapik dengan kain lain terlebih dahulu, jangan gosok terus pada bahagian jahitan manik kerana dikhuatiri manik akan rosak.

 

Rabu, 6 Ogos 2014

Perkahwinan Jarak Jauh (PJJ)


Teks: Siti Mariah Binti Md Desa
Salam.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Pada zaman millenium ini saya yakin dan pasti ramai pasangan yang mempunyai status perkahwinan jarak jauh. Termasuklah saya juga tergolong dalam kehidupan sebegini. Berjauhan dengan suami bukanlah suatu yang mudah. Cabaran yang paling besar adalah berdepan dengan perasaan sendiri. Kadang kala timbul rasa cemburu dan curiga apabila suami berjauhan.
Suami bekerja dan tinggal di Seri Manjung, Perak manakala saya pula tinggal di Jitra, Kedah dan bekerja di Kangar, Perlis. Kami hanya berjumpa apabila cuti hujung minggu. Mujurlah cuti kami pada hari yang sama iaitu pada hari sabtu dan ahad. Saya sentiasa menunggu hujung minggu kerana ingin berjumpa suami tercinta. Masa yang ada kami gunakan sebaik - baiknya maklumlah dua hari sahaja seminggu yang diperuntukan untuk bersama.
Berpegang pada prinsip percaya pada pasangan dan sentiasa meluahkan andai ada masalah membuatkan hati lebih tenang apabila berjauhan begini. Mana tidaknya jika lewat menerima panggilan atau khabar dari suami pasti rasa curiga menguasai diri. Apabila perasaan sebegini terlintas cepat – cepat saya mohon doa agar diberi kekuatan dan mempercayai suami. Allah Ya Allah, siapalah aku tanpa Mu Ya Allah pasti syaitan sentiasa meracuni hati dan fikiran ini.
Seringkali ditanya rakan dan kenalan mengenai perkahwinan jarak jauh ini membuatkan hati tersentuh hiba. Tak kurang juga ramai yang memberi kata – kata semangat untuk bersabar atas ujian ini. Doa sentiasa dipanjatkan kepada Allah supaya kami dapat tinggal bersama tapi apakan daya Allah lebih mengetahui waktu yang sesuai mengikut perancanganNYA. Saya yakin harinya akan tiba jua. Semoga Allah mempermudahkan urusan saya untuk tinggal bersama suami tercinta. Amin.
Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

 

Perkampungan Air

Teks: Siti Mariah Binti Md Desa
 
Salam.
 
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
 
Jauh perjalanan luas permandangan. Begitulah ungkapan yang amat sesuai dengan perjalanan saya dan suami pulang ke kampung halamannya di Sandakan, Sabah. Sebuah perkampungan nelayan, rumahnya pula di atas air. Pemandangan yang indah! Sungguh indah. Begitulah terdetik di hati saya pada mula menjejak kaki di sana. Setiap hari saya akan menunggu air pasang memenuhi ruang mengikut percaturanNYA. Mungkin bagi orang di sana menganggap ianya biasa – biasa sahaja. Tetapi bagi saya ianya luar biasa. Tidak pernah saya terfikir akan tinggal di tempat sebegitu. Apabila terkenang kembali pasti saya rindu dan tersenyum sendiri.  Jatuh cintakah saya?
 
Perjalanan menaiki pesawat yang memakan masa selama 2 jam 45 minit dari Semenanjung tidaklah begitu meletihkan. Bahkan saya begitu teruja untuk cepat sampai bertemu dengan keluarga mertua.  Sesampai saja kami di bumi Sabah, pasti kami di hidangkan dengan makanan yang begitu membuka selera. Semuanya sedap belaka.  Ketam dan udang pasti menjadi hidangan utama jika kena dengan musimnya. Hampir setiap hari menunya pasti ada udang dan ketam sehinggakan saya pernah sakit kaki akibat terlebih protein. Saya benar – benar rindukan masakan mereka.
 
Mutiara Sabah begitu sinonim dengan Negeri Di Bawah Bayu ini. Jika ke sana tidak lengkap rasanya tanpa membawa pulang mutiara Sabah sebagai buah tangan kepada keluarga dan rakan baik. Walaupun hanya keronsang , saya pasti akan membelinya juga. Melihatkan keunikan dan hasil kreativiti mereka menghasilkan kraf membuatkan saya asyik memilih sehingga rambang mata.
 
Setelah beberapa hari tinggal di sana, rasanya tidak cukup untuk menikmati nikmatNYA. Begitu indah pandangan mata, makanan yang sedap dan keunikan kraf tangan penduduk Sabah pasti membuatkan saya sentiasa teringatkan mereka. Sehingga betemu lagi mama, bapa dan semuanya.
 
Tak kenal maka tak cinta.
 
  
 

Selasa, 5 Ogos 2014

Salam Perkenalan


Teks: Siti Mariah Binti Md Desa

Tarikh: 05/08/2014

Salam perkenalan.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Nama sebenar saya Siti Mariah Binti Md Desa. Saya ialah anak kepada Md Desa Bin Goi dan Haton Binti Ismail. Berumur 30 tahun dan merupakan anak jati dari Jitra, Kedah. Saya adalah anak yang ke empat daripada enam adik beradik. Seorang isteri kepada suami tercinta iaitu Sainal Abidin Bin Abdul Jalil.   

Saya mendapat pendidikan di sekolah rendah dan sekolah menengah di Jitra,Kedah. Seterusnya melanjutkan pelajaran di Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang dalam bidang Pengajian Perniagaan selama tiga tahun. Setelah menamatkan pengajian, saya mencuba pelbagai pekerjaan sehinggalah ditawarkan jawatan sebagai Pembantu Akauntan di sektor awam. Saya bersyukur kerana mendapat pekerjaan tetap walaupun pada ketika itu umur saya telah menjangkau 25 tahun.  

Saya amat meminati sulaman manik dan riben. Saya juga pernah menyertai beberapa kelas sulaman manik dan riben yang di anjurkan oleh pihak swasta dan kerajaan. Disebabkan minat ini juga saya sanggup membeli buku rujukan dan ebook mengenai sulaman manik dan riben walaupun harganya agak tinggi. Sekiranya ada masa terluang saya akan membaca dan meninjau blog yang disediakan secara percuma untuk melihat teknik dan fesyen terkini sulaman tersebut.

Walaupun telah mempunyai pekerjaan tetap,  impian untuk membuka perniagaan sendiri dan berkongsi minat dalam sulaman manik dan riben masih kuat. Dari impian itulah saya mengatur strategi untuk membina blog. Pada mulanya, saya agak buntu untuk membina blog sehinggalah saya terbaca blog Pn Masayu Ahmad pengasas Akademi Bekerja Di Rumah yang menyediakan Kelas Asas Blog dan Fan Page. Dari situlah saya mendaftar untuk menyertai kelas yang ditawarkan. Kemudian saya dikenalkan dengan Pn Aishah Hussein yang merupakan guru saya sekarang.

Alhamdulillah, saya bersyukur dapat menyiapkan sebuah blog yang diberi tajuk Sulaman Mudah dan Kreatif. Semoga blog ini memberi manfaat kepada diri saya sendiri dan juga orang lain. Saya juga berharap blog ini merupakan langkah pertama untuk saya mengorak langkah lebih jauh lagi. Saya yakin dengan bantuan dan bimbingan Pn Aishah Hussein saya dapat mencapai impian ini. Insyaallah. Jutaan terima kasih yang tidak terhingga juga kepada suami tercinta yang banyak menyokong dan memberi kata - kata semangat.

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.